Archive for Isu-isu Semasa

Say Yes to Rasulullah , Say No to Valentine’day

Pada setiap tahun, tanggal 14 Februari pastinya ditunggu-tunggu oleh golongan yang sedang hangat bercinta kerana pada tarikh tersebut si jejaka dan si gadis akan mengekspresikan cinta mereka dalam pelbagai bentuk yang disukai oleh mereka. Pastinya hari tersebut akan menjadi hari yang paling bahagia dan kenangan terindah buat mereka. Hari tersebut adalah Valentine’s Day ataupun Hari Kekasih. Perayaan Valentine’s Day di Malaysia mula menjalar di kalangan rakyat Malaysia menjelang akhir 1980an lagi.

Apakah kewajarannya menyambut Valentine’s Day ini? Mari kita soroti sejarah kewujudan Valentine’s Day ini.

Salah satu versi terkuat menyatakan asal usul sejarah Valentine’s Day bermula di sekitar tahun 270M, di zaman pemerintahan Maharaja Rom iaitu Maharaja Claudius II yang zalim. Rom ketika itu terlibat di dalam beberapa peperangan yang berdarah dalam usaha untuk meluaskan empayarnya.

                Claudius menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tentera. Pada pandangan beliau sebab utama pemuda-pemuda Rom tidak berminat menjadi tentera ialah kerana mereka sukar meninggalkan kekasih dan keluarga mereka. Untuk mengatasi masalah ini, Claudius telah mengharamkan semua perkahwinan dan pertunangan di kalangan masyarakat Rom.

                Saint Valentine merupakan salah seorang paderi Rom ketika itu. Beliau bersama seorang paderi lain bernama Saint Marius secara rahsia telah membantu mengahwinkan pasangan-pasangan yang ingin berkahwin. Akibatnya beliau telah tangkap, dipenjara, dan dijatuhkan hukuman bunuh pada tanggal 14 Februari tahun 270 M. Beliau dianggap ‘syahid’ oleh para penganut Kristian ketika itu.

Sebelum dijatuhkan hukuman bunuh, ramai golongan muda menziarahi Saint Valentine semasa beliau di dalam penjara sebagai tanda sokongan dan simpati. Salah seorang yang kerap mengunjungi beliau ialah anak gadis kepada seorang pengawal penjara yang akhirnya membibitkan perasaan kasih sayang di antara mereka.

Pada hari Saint Valentine dijatuhkan hukuman bunuh, beliau telah meninggalkan sekeping nota kepada gadis tersebut dengan menulis ucapan terima kasih dan diakhiri dengan perkataan “Love from your Valentine”. Menurut sejarah, nota inilah yang memulakan budaya Valentine’s Day.

Islam dan Valentine’s Day

Islam mengharamkan sambutan perayaan Valentine’s Day oleh penganutnya atas beberapa sebab:

1-      Sudah terang lagi bersuluh bahawa perayaan Valentine’s Day ini berasal daripada golongan yang ingkar akan perintah Allah dan ianya bertentangan tengan syariat Islam.

Hadis Rasulullah: “Barang siapa yang meniru atau mengikuti suatu kaum (agama) maka dia termasuk kaum (agama) itu”.

2-      Tambahan lagi, kita ditegah menyambut perayaan ini yang hanya akan menjurus kepada maksiat dan akhlak yang tidak baik.

Firman-Nya:“ Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan  yang keji dan satu jalan yang membawa kepada kerosakan.”

(Surah Al-Isra’ : 32)

3-      Meningkatkan statistik anak luar nikah hasil daripada seks bebas. Seperti yang kita tahu, Islam sangat menjaga nasab keturunan umatnya.

4-      Membawa kepada kemurkaan Allah kerana ramainya manusia yang membuat kemungkaran.

5-      Bukan ajaran dan sunnah yang dibawa oleh nabi.

Oleh itu kita sebagai umat Islam yang mengaku bahawa Allah Yang Maha Kuasa serta nabi Muhammad SAW sebagai role model haruslah menolak  perayaan yang bertentangan dengan akidah Islam. Seharusnya sempena Maulidur Rasul yang baru sahaja berlalu, kita yang mengaku sebagai umatnya mestilah berusaha menjadikan baginda sebagai role model serta tidak mengabaikan al-Quran dan sunnah nabi.


Leave a comment »

Selamat Menyambut KeMERDEKAan yang ke-53

Leave a comment »

Gegaran Gempa Bumi di UNITEN!

hostel1Di UNITEN, warga kampus telah menjadi saksi akan kejadian tersebut terutama sekali bagi mereka yang tinggal di kelompok Murni. Menurut salah seorang pelajar wanita yang berada di dalam biliknya yang mahu dikenali sebagai kak dorama(bukan nama sebenar), suatu gegaran selama kurang seminit telah dirasai oleh kebanyakan pelajar yang berada di kelompok tersebut pada ketika itu. Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 6 petang, hampir menyamai kejadian yang berlaku di sumatera.

Kejadian tersebut turut dirasai sama oleh pelajar luar kampus yang tinggal di Kondominium Kenaria, Taman Sri Kenari, Sungai Ramal Luar, Kajang. Waktu kejadian yang dirakamkan hampir sama dengan waktu kejadian di kelompok Murni, Uniten. Walaubagaimanapun, tiada laporan yang diterima daripada pelajar yang tinggal di kelompok-kelompok lain di UNITEN;Kelompok Amanah, Ilmu dan Cendekiawan.

Setakat ini, tiada kerosakan harta benda mahupun nyawa terkorban yang dilapor kesan daripada kejadian tersebut. Sekian.

Unit Penerangan

Persatuan Pengajian Islam

Leave a comment »

‘Sweeping Malaysia’ di Jawa Tengah, Indonesia

Dua minggu kebelakangan ini masyarakat dunia telah menyaksikan beberapa peristiwa yang menimbulkan ketegangan khususnya yang berlaku di Asia Tenggara. Antara kejadian yang mendapat perhatian meluas adalah ‘Sweeping Malaysia’ yang dicetuskan oleh segelintir rakyat di negara jiran, Indonesia sebagai tanda protes terhadap klip video promosi tarian Pendet yang digunakan oleh Malaysia untuk promosi pelancongan.

Dalam kejadian tersebut, segelintir rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) telah melakukan ‘sweeping’ ke atas rakyat Malaysia di sini dengan keluar ke jalan membawa buluh runcing dan memeriksa tanda pengenalan orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro di sini untuk mencari rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun, ‘sweeping’ tersebut hanya berlangsung singkat. Hanya 30 minit dari 60 menit yang direncanakan. Tetapi suasana pada ketika itu cukup menegangkan.

Respon daripada presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono selepas berlakunya kejadian tersebut, mengingatkan akan rakyatnya bahawa tindakan kekerasan ‘menyapu bersih’ rakyat Malaysia di sini tidak akan menyelesaikan masalah, malah sebaliknya akan menimbulkan masalah baru. Menurut beliau lagi, terdapat 1.8 juta rakyat Indonesia yang sedang mencari rezeki dan belajar di Malaysia. Kebimbangan ini lahir sekarang berikutan reaksi berlebihan segelintir rakyat Indonesia menimbulkan sengketa budaya dengan Malaysia. Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya di sini, seperti tersiar dalam laman webnya, Susilo berkata sweeping ke atas rakyat Malaysia adalah tindakan kekerasan dan bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi ketika umat Islam, baik rakyat Malaysia mahupun rakyat Indonesia sedang menunaikan ibadah puasa. Beliau turut menegaskan bahawa pemerintah Indonesia sudah mengambil langkah mengatasi masalah yang timbul seperti tuduhan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali dan mempromosi Pulau Jemur di Riau, melalui saluran diplomatik dan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyatnya di Indonesia termasuk kira-kira 5,600 pelajar perubatan, kedoktoran dan pergigian di samping ribuan profesional yang bekerja di sini, yang terdedah kepada ancaman golongan itu yang menggunakan slogan ‘Ganyang Malaysia’ dan mengakui mempunyai ilmu kebal. Akan tetapi Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan memastikan keselamatan rakyat Indonesia yang berada di Malaysia dan menjamin rakyat Malaysia tidak akan bertindak balas terhadap tindakan keras yang dilakukan di sini seperti membakar bendera Malaysia dan membaling telur busuk ke kedutaan Malaysia.

Berdasarkan kepada kejadian tersebut, kerajaan Malaysia sewajarnya mengkaji kenapa tarian bali boleh terdapat dalam klip video promosi pelancongan Malaysia. Perkara kecil ini mestilah dipandang serius kerana ia melibatkan sensitiviti kedua-dua negara. Penulis berpendapat bahawa ada pihak yang secara sengaja ingin mencetuskan api permusuhan antara kedua-dua negara melalui provokasi media massa. Jelas di sini kelihatan, media massa Indonesia telah disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu yang mempunyai agenda jangka masa panjang. Apa agenda tersembunyi tidak sukar untuk diketahui.

Umumnya sudah diketahui bahawa Malaysia dan Indonesia adalah masyarakat serumpun. Hanya sempadan negara yang memisahkan. Itu pun berlaku sejak tamatnya perang dunia kedua, oleh tangan-tangan durjana penjajah asing. Selain daripada itu, perancangan ini dilakukan secara rapi memandangkan kejadian ini bukanlah satu-satunya ketegangan yang berlaku di Asia Tenggara. Di Thailand dan Filipina, perang saudara kerapkali berlaku. Tidak terkecuali bagi negara Kemboja dan Mynmar yang suatu ketika dahulu kerap dimainkan oleh pihak antarabangsa. Perang saudara Vietnam yang berlaku pada tahun 70-an juga merupakan perancangan pihak berkepentingan yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Sebahagian bukti-bukti sejarah lalu sudah cukup untuk menjadi indikator akan adanya agenda yang terselit di sebalik peristiwa ini.

Terlebih dahulu seeloknya kita boleh buat kronologi peristiwa daripada sebelum berlakunya ‘Sweeping Malaysia’ di Jawa Tengah secara jelas. Antara sebahagian rentetan peristiwa yang telah berlaku sebelum ini bermula daripada perebutan hak wilayah ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan;akhirnya dimenangi oleh Malaysia, kemudian kes penderaan amah atau pekerja asing Indonesia di Malaysia, isu penciplakan lagu kebangsaan Malaysia iaitu Negaraku daripada lagu tempatan Indonesia ‘Terang Bulan’, penggunaan lagu ‘Rasa Sayang’ untuk tujuan promosi pelancongan Malaysia dan paling terkini penggunaan klip video promosi tarian Pendet untuk promosi pelancongan oleh Malaysia. Seolah-olah peristiwa ini sudah dirancang sejak sekian lama. Halatuju kronologi ini lebih menjurus ke arah perang saudara. Peranan media massa antarabangsa tambah memarakkan lagi api yang sedang menyala. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kita tidak boleh nafikan peranan oleh pihak tertentu dalam isu ini.

Kepada rakyat Indonesia, nasihat yang ingin penulis lontarkan ialah perlulah berhati-hati dengan segala penyataan yang dikeluarkan oleh media. Kerana dikhuatiri segala tindakan kalian boleh merosakkan hubungan budaya dan rumpun yang telah terjalin sejak sekian lama. Jangan hanya kerana isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Indonesia membenarkan segala tindak tanduk sehingga sanggup menghina negara jiran, malah serumpun. Akhlak berjiran perlu dijaga. Jangan jadi pengikut kepada arus sahaja.

Sebagai kata akhir, terbuka jangan hanyut. Berprinsip jangan jumud.

[sumber dari http://bentara-khateeb.blogspot.com/]

Comments (2) »

Isu Kartika, Aspek pemahaman Islam perlu dititikberatkan – HELWANI PPI

Isu Kartika telah dipolemikkan oleh pelbagai pihak sehingga menimbulkan kontroversi hebat mengenainya. Lebih-lebih lagi, perkara yang dipolemikkan ialah berkaitan dengan hukum syarie. Kartika atau nama penuhnya Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 telah diputuskan oleh mahkamah syariah Pahang sebagai bersalah atas kesalahan meminum arak di sebuah hotel di Cherating, Pahang.

Kartika didenda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lepas kerana meminum arak di pusat hiburan di Cherating, pada 11 Julai tahun lepas.

Sungguhpun begitu hukuman tersebut dikatakan akan disemak semula oleh pihak Mahkamah Syariah Pahang, setelah Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Abdul Rahman Yunus mengarahkan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) supaya menangguhkan hukuman sebat ke atas Kartika sempena menghormati kemuliaan Ramadan. Hal ini berlaku atas desakan dan tekanan yang diterima daripada pelbagai pihak. Mari kita ambil tahu beberapa respon mengenai isu Kartika ini.

  1. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menjelaskan hukuman sebat keatas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 kerana minum arak ditangguhkan bukan kerana susah untuk mendapatkan jurusebat dan bukan kerana ia tidak boleh lakukan tetapi ini adalah kes pertama yang dihadapi. Menurutnya kerana itu Jabatan Penjara perlulah bersiap sedia dengan segala keperluan terlebih dahulu kerana mata dunia menumpukan perhatian pada kes ini. “Tetapi jika Kartika tetap tidak mahu membuat rayuan bagi menggelakkan hukuman sebat berkenaan, maka pihak penjara perlu bersiap sedia dari sekarang untuk menjalankan hukuman tersebut selepas berakhirnya Ramadan” katanya
  2. Norhayati Kaprawi, seorang  aktivis wanita Muslim. Pernah bertugas sebagai pengurus program Sisters in Islam (SIS) selama empat tahun dan aktif bersama Inisiatif Pencalonan Wanita (WCI). Antara tulisan beliau yang dimuatkan dalam laman web http://www.malaysiakini.com, “Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarno (foto) tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu. Tambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap model sambilan itu. Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam. Namun, apabila timbul masalah sebenar dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam-kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu. Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat. Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksimum?” Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia? Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut-peragut yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian.
  3. Dalam temubual Akhbar Sinar dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, “Hudud adalah hukum yang ada dalam dalam al-Quran dan al-Sunnah, tiada siapa berhak mempertikaikannya. Namun sebelum dilaksanakan, ada banyak persoalan yang perlu ditangani. Bukan soal setuju atau tidak, soalannya sejauh manakah jika hukuman ini dilaksanak an ia mencapai maksud dan tujuan hukuman tersebut. Tujuan hukuman untuk melaksanakan keadilan dan memberikan pengajaran sesuai dengan ajaran Islam. Hukuman mestilah memberikan natijah yang baik kepada Islam dan mampu menaikkan imej Islam serta memberikan nilai yang positif kepada masyarakat termasuk diri yang dihukum. Jika ia memberikan kesan yang negatif, maka maksud hukuman itu akan tersasar”. Tambah beliau lagi, “Saya setuju, bahkan menyokong segala hasrat untuk menguatkuasakan undang-undang syariah, tetapi hendaklah secara menyeluruh dan memberikan impak yang positif kepada Islam. Suasana semasa dan mentaliti masyarakat hari ini hendaklah diambil kira. Isu Kartika baik sebagai s atu usaha. Apatah lagi Kartika sendiri bersetuju dan rela. Namun, suasana semasa kurang berpihak kepada Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan. Bukan kesalahan pihak mahkamah, tetapi nilai agama dan pemikiran masyarakat yang bermasalah”.

Nadhira

Berdasarkan kepada lontaran-lontaran pendapat daripada beberapa pihak dia atas, kesimpulan yang boleh dibuat ialah betapa lemahnya kefahaman mengenai Islam dalam kalangan umat Islam. Islam yang diturunkan oleh Allah kepada umat manusia adalah sebagai cara hidup. Diturunkan bersama-samanya ialah syariat Allah. Perkara-perkara yang terdapat dalam syariat seperti aspek ibadah, akhlak, munakahat(kekeluarga), muamalat(urusan jual beli), faraid(pembahagian harta) dan jenayat(undang-undang).

Adalah menjadi kemestian untuk melaksanakan syariat Allah dalam kehidupan secara keseluruhan, tidak boleh diambil secara separuh-separuh. Kerana setiap perkara yang terkandung dalam syariat itu ada maqasid syariah tersendiri. Maqasid syariah bermaksud kehendak syariat, iaitu matlamat-matlamat yang ingin dicapai oleh syariat demi kepentingan umat manusia. Perlu diketahui juga bahawa segala hukum hakam yang terkandung di dalam AL-Quran diturunkan untuk digunapakai dalam urusan pentadbiran kehidupan manusia dan menjaga kemaslahatan(kepentingan).

Walaupun pelaksanaan hukuman sebat akan dikaji semula, bukanlah bermaksud keputusan yang telah diambil oleh pihak mahkamah syariah sebelum ini adalah salah. Keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada ilmu yang mereka miliki, bersumberkan kepada Al-Quran dan sunnah. Perlu diketahui bahawa Al-Quran itu datangnya dari Allah subhanaallah taala. Sebagai hamba Allah, kita perlu tunduk kepada segala perkara yang telah ditetapkan oleh Allah. Saya mewakili biro Hal Ehwal Wanita (HELWANI) menyeru kepada pihak yang berkenaan supaya memperdalami kefahaman mengenai maqasid (kehendak) bagi hukuman yang telah ditetapkan pada kesalahan tertentu. Umpamanya minum arak dan mencuri. Serta kaji semula mengenai sirah nabi dan para sahabat yang berkaitan dengan pelaksanaan hukum jenayat Islam.

Adakah hukuman yang digariskan Islam zalim? Bandingkan keadaan di ‘zaman kemuncak Islam’ dengan zaman kita sekarang. Semua jenis jenayah pada zaman emas tersebut teramatlah sedikit jika dibandingkan pada zaman sekarang. Zaman sekarang semua jenis jenayah berleluasa sehinggakan ianya berlaku di depan mata hampir setiap saat.

Sekali lagi, pihak HELWANI ingin menekankan supaya setiap manusia yang mengaku dirinya Muslim supaya mendalami ilmu Islam terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu tanggapan. Amal tanpa ilmu ibarat melakukan sesuatu perbuatan itu secara sia-sia. Pihak HELWANI yakin hanya Islam satu-satunya jalan penyelesaian kepada segala permasalahan umat manusia yang berlaku kini.

Nadhira Bte Mat Nashim

Pengerusi

Biro Hal Ehwal Wanita (HELWANI),

Persatuan Pengajian Islam ,

UNITEN

Leave a comment »

Isu Kepala lembu berdarah dan bantahan pemindahan kuil di Shah Alam : Pendirian PPIUNITEN

Tanggal 31 Ogos merupakan ulangtahun hari kemerdekaan Malaysia. Namun begitu, sambutan menyambut tarikh kemerdekaan pada tahun ini agak terjejas ekoran berlakunya peristiwa ‘demonstrasi kepala lembu berdarah’ oleh penduduk seksyen 23, Shah Alam, Selangor. Peristiwa tersebut berlaku pada 28 Ogos, 3 hari sebelum sambutan hari merdeka. Hasilnya, satu perarakan ‘Kepala lembu berdarah’ dari masjid negeri ke pejabat SUK negeri, berlaku selepas solat jumaat. Menurut sumber-sumber yang dipercayai, demostrasi tersebut berpunca daripada bantahan penduduk seksyen 23 yang tidak bersetuju dengan pemindahan kuil dari seksyen 19 ke 23. Sebab utama bantahan penduduk di kawasan tersebut ialah majoriti penduduk seksyen 23 adalah Melayu.

Persatuan Pengajian Islam Uniten (PPIUNITEN) melihat serius perkara ini kerana ianya melibatkan sensitiviti banyak pihak. Hakikat utama yang mesti disedari oleh semua warga Malaysia amnya, penduduk Shah Alam khususnya ialah mengenai kepelbagaian kaum di Malaysia. Kepelbagaian ini membawa maksud kemajmukan budaya dan cara hidup rakyat Malaysia. Tindakan membawa ‘Kepala Lembu Berdarah’ adalah tindakan yang boleh memarakkan bara api dalam kalangan masyarakat Malaysia untuk jangka masa panjang. Tambahan pula terdapat usaha daripada pihak tertentu yang bertindak ‘mencurah minyak tanah ke api’ dengan menyebarkan surat layang berunsur perkauman (Melayu) ekstream bertebaran di atas jalan serta di Surau Seksyen 23.

Sejumlah besar Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditugaskan menbuat tinjau di sekitar kawasan tersebut telah menjelaskan bahawa beberapa Pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) datang memadamkan contengan-contengan yang berbaur perkauman sempit itu dengan cat ringkas beberapa hari lepas. Tindakan yang tidak popular ini mesti dicegah dari sekarang dan berharap tidak akan berulang lagi pada masa hadapan kerana ia bercanggah dengan aspirasi Perdana Menteri Malaysia sendiri, Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak iaitu 1MALAYSIA!

Oleh itu kunci utama untuk hidup dalam situasi ini ialah sikap saling memahami antara satu sama lain. Cara duduk semeja adalah cara yang terbaik bagi meleraikan permasalah yang berlaku ini. Maka, Persatuan Pengajian Islam UNITEN mencadangkan agar sesi perbincangan antara kerajaan negeri dan penduduk tempatan perlu diadakan secara lebih kerap. Hal ini supaya komunikasi dua hala menjadi lebih berkesan, lalu segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik. Tidak kira sama ada isu berbangkit timbul dari pihak penduduk mahupun kerajaan negeri. Menurut sumber kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menjemput seluruh penduduk tempatan dan wartawan sendiri menyertai dialog harmoni bersamanya pada Sabtu, 5 September di Dewan Banquet MBSA.

PPIUNITEN mengharapkan agar kerajaan negeri lebih mengambil berat mengenai segala suara dari rakyat negeri memandangkan kerajaan Negeri telah mendapat mandat baru dari rakyat negeri Selangor sejak pilihan raya umum lalu. Sewajarnya pihak kerajaan negeri menjalankan tugas sebagai pemegang amanah pengurus tadbir negeri yang telah diberikan.

Akhir kata, PPIUNITEN berharap supaya menjadi kewajaran bagi semua pihak yang terlibat supaya duduk berbincang serta mengkaji situasi yang telah, sedang dan akan berlaku sebelum bertindak dengan lebih lanjut lagi. Segala tindakan yang kurang tepat akan merencatkan keharmonian masyarakat tempatan dan Malaysia yang telah wujud sejak sekian lama.


WAN BAIHAQI BIN WAN AB RAHMAN

Presiden

Persatuan Pengajian Islam 2009/10

Universiti Tenaga Nasional.

Comments (3) »

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.