‘Sweeping Malaysia’ di Jawa Tengah, Indonesia

Dua minggu kebelakangan ini masyarakat dunia telah menyaksikan beberapa peristiwa yang menimbulkan ketegangan khususnya yang berlaku di Asia Tenggara. Antara kejadian yang mendapat perhatian meluas adalah ‘Sweeping Malaysia’ yang dicetuskan oleh segelintir rakyat di negara jiran, Indonesia sebagai tanda protes terhadap klip video promosi tarian Pendet yang digunakan oleh Malaysia untuk promosi pelancongan.

Dalam kejadian tersebut, segelintir rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) telah melakukan ‘sweeping’ ke atas rakyat Malaysia di sini dengan keluar ke jalan membawa buluh runcing dan memeriksa tanda pengenalan orang ramai yang melalui Jalan Diponegoro di sini untuk mencari rakyat Malaysia. Walaubagaimanapun, ‘sweeping’ tersebut hanya berlangsung singkat. Hanya 30 minit dari 60 menit yang direncanakan. Tetapi suasana pada ketika itu cukup menegangkan.

Respon daripada presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono selepas berlakunya kejadian tersebut, mengingatkan akan rakyatnya bahawa tindakan kekerasan ‘menyapu bersih’ rakyat Malaysia di sini tidak akan menyelesaikan masalah, malah sebaliknya akan menimbulkan masalah baru. Menurut beliau lagi, terdapat 1.8 juta rakyat Indonesia yang sedang mencari rezeki dan belajar di Malaysia. Kebimbangan ini lahir sekarang berikutan reaksi berlebihan segelintir rakyat Indonesia menimbulkan sengketa budaya dengan Malaysia. Sementara itu, selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinetnya di sini, seperti tersiar dalam laman webnya, Susilo berkata sweeping ke atas rakyat Malaysia adalah tindakan kekerasan dan bertentangan dengan undang-undang, apatah lagi ketika umat Islam, baik rakyat Malaysia mahupun rakyat Indonesia sedang menunaikan ibadah puasa. Beliau turut menegaskan bahawa pemerintah Indonesia sudah mengambil langkah mengatasi masalah yang timbul seperti tuduhan Malaysia mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali dan mempromosi Pulau Jemur di Riau, melalui saluran diplomatik dan Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) kedua-dua negara.

Pada masa yang sama, Malaysia menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyatnya di Indonesia termasuk kira-kira 5,600 pelajar perubatan, kedoktoran dan pergigian di samping ribuan profesional yang bekerja di sini, yang terdedah kepada ancaman golongan itu yang menggunakan slogan ‘Ganyang Malaysia’ dan mengakui mempunyai ilmu kebal. Akan tetapi Kerajaan Malaysia memberi jaminan akan memastikan keselamatan rakyat Indonesia yang berada di Malaysia dan menjamin rakyat Malaysia tidak akan bertindak balas terhadap tindakan keras yang dilakukan di sini seperti membakar bendera Malaysia dan membaling telur busuk ke kedutaan Malaysia.

Berdasarkan kepada kejadian tersebut, kerajaan Malaysia sewajarnya mengkaji kenapa tarian bali boleh terdapat dalam klip video promosi pelancongan Malaysia. Perkara kecil ini mestilah dipandang serius kerana ia melibatkan sensitiviti kedua-dua negara. Penulis berpendapat bahawa ada pihak yang secara sengaja ingin mencetuskan api permusuhan antara kedua-dua negara melalui provokasi media massa. Jelas di sini kelihatan, media massa Indonesia telah disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu yang mempunyai agenda jangka masa panjang. Apa agenda tersembunyi tidak sukar untuk diketahui.

Umumnya sudah diketahui bahawa Malaysia dan Indonesia adalah masyarakat serumpun. Hanya sempadan negara yang memisahkan. Itu pun berlaku sejak tamatnya perang dunia kedua, oleh tangan-tangan durjana penjajah asing. Selain daripada itu, perancangan ini dilakukan secara rapi memandangkan kejadian ini bukanlah satu-satunya ketegangan yang berlaku di Asia Tenggara. Di Thailand dan Filipina, perang saudara kerapkali berlaku. Tidak terkecuali bagi negara Kemboja dan Mynmar yang suatu ketika dahulu kerap dimainkan oleh pihak antarabangsa. Perang saudara Vietnam yang berlaku pada tahun 70-an juga merupakan perancangan pihak berkepentingan yang diketuai oleh Amerika Syarikat. Sebahagian bukti-bukti sejarah lalu sudah cukup untuk menjadi indikator akan adanya agenda yang terselit di sebalik peristiwa ini.

Terlebih dahulu seeloknya kita boleh buat kronologi peristiwa daripada sebelum berlakunya ‘Sweeping Malaysia’ di Jawa Tengah secara jelas. Antara sebahagian rentetan peristiwa yang telah berlaku sebelum ini bermula daripada perebutan hak wilayah ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan;akhirnya dimenangi oleh Malaysia, kemudian kes penderaan amah atau pekerja asing Indonesia di Malaysia, isu penciplakan lagu kebangsaan Malaysia iaitu Negaraku daripada lagu tempatan Indonesia ‘Terang Bulan’, penggunaan lagu ‘Rasa Sayang’ untuk tujuan promosi pelancongan Malaysia dan paling terkini penggunaan klip video promosi tarian Pendet untuk promosi pelancongan oleh Malaysia. Seolah-olah peristiwa ini sudah dirancang sejak sekian lama. Halatuju kronologi ini lebih menjurus ke arah perang saudara. Peranan media massa antarabangsa tambah memarakkan lagi api yang sedang menyala. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kita tidak boleh nafikan peranan oleh pihak tertentu dalam isu ini.

Kepada rakyat Indonesia, nasihat yang ingin penulis lontarkan ialah perlulah berhati-hati dengan segala penyataan yang dikeluarkan oleh media. Kerana dikhuatiri segala tindakan kalian boleh merosakkan hubungan budaya dan rumpun yang telah terjalin sejak sekian lama. Jangan hanya kerana isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat Indonesia membenarkan segala tindak tanduk sehingga sanggup menghina negara jiran, malah serumpun. Akhlak berjiran perlu dijaga. Jangan jadi pengikut kepada arus sahaja.

Sebagai kata akhir, terbuka jangan hanyut. Berprinsip jangan jumud.

[sumber dari http://bentara-khateeb.blogspot.com/]

2 Responses so far »

  1. 1

    afterdark said,

    ini adalah antara kebodohan akhir zaman yang paling ‘outstanding’ buat masa ini. dua negara yang majoriti islam bergaduh dan nak berbunuh sebab tarian berkemban yang mendedahkan aurat. Entah dimana hadis dan Quran yang menghalalkan darah dan caci maki semata-mata kerana berebutkan tarian. Last-last internet penuh dengan maki hamun antara warga online dari kedua negara menghamun satu sama lain di 10 hari terakhir bulan Ramadhan. Bagi saya semua yang lupa adat dalam internet dan mengapi-apikan permusuhan itu adalah samada kafir menyamar, yahudi menyamar atau islam munafik.

  2. 2

    nabila said,

    Ya. dan itu mereka yang melakukan sweeping sangat tidak manusiawi! dan itu orang-orang yang mempunyai fikiran sempit sahaja. i hate them. Semoga Malaysia dan Indonesia selalu mendapat rahmat Allah. amin


Comment RSS · TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: